Friday
Bajet Stimulus Kg Kurnia Sejahtera
Salam sejahtera semua warga Kg Kurnia Malaysia...
Bajet, belanjawan, rangsangan ekonomi berhemah penduduk sejahtera. Belanjawan bijaksana dari Ketua Kg Kurnia jelas akan memberi kesan sejahtera kepada warga penduduk semuanya. Bagi penduduk Kg Kurnia yang arif, berfikir, menilai dan menganalisa sesuatu perkara dengan sedar dan sentiasa yakin dengan rahmat Allah, mereka amat gembira kerana pemerintah Kg Kurnia masih mempunyai kewangan yang kukuh berkat dari kesungguhan semua warga Kg Kurnia bekerja dan mencari rezeki di bumi bertuah ini.
Persoalannya adalah siapa yang menyumbang, menyedia dan memberi buah fikiran bajet kg Kurnia Malaysia? Sudah pasti mereka adalah anak-anak Kg Kurnia sendiri yang terdiri daripada pakar-pakar ekonomi, bijak pandai anak Kg Kurnia Malaysia yang terhasil dari rancangan urus tadbir Kg kurnia. Warga Kg Kurnia telah maklum akan penghantaran anak-anak Kg Kurnia ke luar negara untuk menimba pelbagai ilmu urus tadbir yang akan diguna pakai oleh Kg Kurnia. Kebijaksanaan anak-anak bangsa kita itu, ditambah dengan kegigihan Ketua Kg Kurnia yang diteraju Sdr Abdullah dan Sdr Najib dan didokong oleh barisan bijaksana pelbagai parti dan kaum telah merumuskan bajet yang pada hemat saya bijaksana dan berimbang. Kebenaran ini harus dan wajib dijelaskan pada warga Kg Kurnia agar sentiasa memberi sokongan padu kepada Ketua Kg Kurnia Malaysia mengurus tadbir ekonomi. Dengan sokongan ini, secara sendirinya kita mengakui bijaksana, cerdik pandai anak bangsa kita sendiri.
Dalam banyak perkara kita mesti yakin dengan anak-anak kita sendiri yang merancang dan menyedia bajet tersebut. Janganlah seperti Sang Lipur yang hanya tahu menghiburkan warga Kg Kurnia dengan cerita yang tidak sahih dan berbelit tetapi dalam hati mereka penuh dengan sifat umang-umang, yang hanya memikir kantung poket mereka sendiri.
Sdr Najib dan pimpinan 'National Front' teruskan dan jayakan Bajet Bijaksana anak-anak bangsa sendiri semoga berjaya dengan gemilang menangani sebarang permasalahan ekonomi, kehidupan dan cabaran dari masa kesemasa. Amin
Jumpa lagi. Wassalam