Saturday
Hukum Shisha Menurut Pandangan Syarak
Bismillah
Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada 17 Julai 2013 telah membincangkan Hukum Shisha Menurut Pandangan Syarak. Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:
Setelah mendengar pembentangan dan penjelasan pakar-pakar daripada Kementerian Kesihatan Malaysia dan meneliti maklumat serta bukti-bukti perubatan dan saintifik terperinci yang dikemukakan dari dalam dan luar negara mengenai kesan dan kemudharatan besar yang dihadapi akibat daripada shisha terhadap kesihatan ummah, pembangunan ekonomi negara serta pembentukan generasi pada masa akan datang, maka Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa shisha adalah haram. Oleh itu, umat Islam adalah dilarang menghisap shisha atau menyediakan perkhidmatan menghisap shisha atau apa-apa aktiviti yang berkaitan dengan shisha.
Muzakarah menegaskan bahawa pengharaman Shisha ini adalah berdasarkan nas-nas syarak daripada al-Quran dan Hadith serta Kaedah Fiqhiyyah bagi memastikan lima perkara asas bagi manusia yang terkandung dalam Maqasid Syari’yyah iaitu menjaga agama, jiwa, akal, keturunan dan harta dapat dipelihara sepertimana tuntutan syarak, kerana Shisha jelas memudharatkan kesihatan, membazir dan mensia-siakan masa dan harta serta dikategorikan sebagai satu perkara buruk atau keji, berdasarkan nas-nas berikut:
Firman Allah swt dalam Surah al-Baqarah, ayat 195 :
“Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan”.
Firman Allah swt dalam Surah al-A’raf ayat 157;
“ Dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk”.
Sabda Rasulullah s.a.w :
“Tidak boleh mudharatkan (diri sendiri) dan memberi kemudharatan (kepada orang lain)”. (Hadith riwayat Ahmad, Malik, Ibn Majah dan al-Daraqutni)
Kaedah Usul Fiqh:
سد الذريعة - iaitu “Menutup pintu kerosakkan”
درء المفاسد مقدم على جلب المصالح – iaitu “menolak kerosakan adalah didahulukan daripada mencari kemaslahatan”.
Keterangan/Hujah:
Huraian:
i. Shisha (juga dikenali dengan pelbagai nama yang lain) adalah sejenis alat yang digunakan untuk mengeluarkan asap (smoking) menggunakan penuras air dan haba secara tidak langsung. Ia boleh digunakan bagi menghisap berbagai bahan seperti herba buah, tembakau, dan ganja.
ii. Shisha turut dikenali dengan nama yang berbagai seperti paip panjang, nargeela, nargile, narghile, nargileh, argeela, arghileh, shisha, sheesha, okka, kalian, hookah, ghelyoon, atau ghelyan. Bergantung kepada perbezaan geografi. Nama-nama ini berasal dari perkataan Arab, India, Turki, Uzbekistan, dan juga Parsi. Narghile (نا جيله) berasal dari perkataan Parsi ‘nargil’ bermakna kelapa dan dalam bahasa Sanskrit; paip yang asal, datang dari India dan diperbuat daripada kulit kelapa.
iii. Manakal shisha (شيشية) pula berasal dari perkataan Parsi (maknanya gelas, bukan botol). Hashish (حشيش) pula adalah perkataan Arab yang membawa makna ‘rumput’, yang diistilahkan sebagai satu panggilan kepada tembakau.
iv. Terdapat sumber lain menyatakan, dalam teks awal Arab, perkataan ‘hashish’ tidak hanya merujuk kepada cannabis resin (damar ganja) tetapi juga bermakna daun kering atau bunga dan manisan yang dicampur dengannya.
v. Hookah (Arab = (معسل) pula pada dasarnya adalah perkataan Arab yang bererti kotak kecil, pasu ataupun jag. Perkataan narghile banyak digunakan di Turki, Lubnan, Syria, Iraq, Jordan, Greece, Cyprus, Albania, Palestine, Israel dan Romania. Namun kita akan dapati huruf pertama ‘n’ dalam perkataan narghile selalunya tidak dibunyikan di Negara-negara Arab. Seterusnya shisha pula lebih diguna pakai di Egypt, Morocco, Tunisia, Arab Saudi dan Somalia. Di Iran ia dikenali sebagai ghalyon atau qalyan (قلىان) dan di Pakistan juga India ia dipanggil ‘huqqa’. Walau bagaimanapun, perkataan hookah lebih banyak digunakan dalam Bahasa Inggeris memandangkan India sebagai Negara asal aktiviti ini mempunyai ramai penduduk yang boleh berbahasa Inggeris.
vi. Secara umunya alat shisha terdiri daripada beberapa bahagian utama iaitu:
a. Bahagian kepala (head), yang merupakan sebiji mangkuk (yang diperbuat daripada tanah liat) untuk meletakkan tembakau dan arang.
b. Bahagian badan atau tengah (body), merupakan penghubung antara bahagian kepala dan bahagian bawah dan kebiasaannya ia diperbuat daripada bahan logam ataupun kayu.
c. Bahagian bawah yang merupakan sebiji mangkuk air (water bowl/ water chamber). Biasanya ia diisikan dengan air tetapi kadang kala ia juga boleh diisikan dengan susu, jus buah-buahan ataupun wain. Bekas air selalunya diperbuat daripada kaca.
d. Hos dan alat penyedut (mouthpiece) yang digunakan untuk menyedut asap keluar daripada alat shisha tersebut. Namun begitu terdapat juga beberapa perbezaan dalam reka bentuk shisha ini mengukit tempat serta adat penduduk yang menggunakannya. Sebagai contoh, ada yang mempunyai hos dan alat penyedut yang lebih adri satu dan boleh dikongsi berdua atau lebih dan juga perbezaan pada bentuk dan saiz bahagian kepala atau bekas airnya.
vii. Kaedah penggunaan shisha:
a. Apabila seseorang menyedut udara dari tiub, satu tekanan berbeza atau memaksa udara dalam ruang asap arang, memanaskan tembakau, dan menghasilkan asap;
b. Asap itu kemudiannya ditarik ke bawah dari tembakau, menyebabkan proses pembuihan dalam air (seperti menggelegak) dan keluar ke permukaan udara dalam ruang asap; dan
c. Seterusnya ditarik melalui penyedut dan masuk ke tubuh penyedut. Tembakau yang digunakan (dikenali juga dengan tobamel atau ma’asal) diperbuat daripada siasatan tembakau dan dicampur dengan pemanis seperti madu dan halwa atau buah separuh kering.
viii. Terdapat dua jenis tembakau shisha iaitu yang dipanggil mu’assal (معسل) dan ‘ajami (عجمي). Tembakau mu’assal terdiri daripada campuran tembakau, buah-buahan dan bahan manisan seperti sirap daripada tebu ataupun madu. Ia juga ditambah dengan glycerin, bahan perisa serta pewarna yang lain. Tembakau mu’assal ini basah dan melekit dan apabila digunakan akan mengeluarkan bau yang manis dan nyaman seperti bau buah-buahan dan kebanyakan pengguna lebih suka menggunakan tembakau jenis ini. Tembakau ‘ajami pula selalunya tidak berperisa, kering dan lebih asli. Sebelum digunakan ia perlu dicampurkan dengan air sehingga ia boleh dicanai atau dibentuk dan harganya lebih mahal.
ix. Perasa tembakau buah yang popular pada hari ini bermula pada akhir 1980, apabila syarikat tembakau Mesir mencubanya sebagai satu cara untuk menjual produk mereka kepada golongan wanita. Pembuatan kontemporari pula telah mula menggunakan gliserin (sejenis cecair likat dan manis yang digunakan dalam perubatan) sebagai bahan utama pemanis memandangkan faktor kualiti pelembap dan pemanis, menjadikan tembakau mempunyai perisa yang pelbagai.
x. Pada hari ini tembakau shisha boleh didapati dalam perisa buah, ekstrak bahan neutral, dan perasa-perasa lain. Antara perisa tersebut: epal, strawberi, ros, manga, cappuccino, vanilla, kelapa, ceri, anggur, pisang, kiwi, bluberry, kopi arab, campuran buah-buahan, tembikai, oren, dan banyak lagi.
xi. Perbuatan menghisap shisha dianggap sebagai satu trend abru kepada masyarakat Malaysia khususnya golongan muda di Bandar-bandar. Restoran-restoran makanan arab banyak menyediakan perkhidmatan menghisap shisha ini.
xii. Menurut dokumen yang bertajuk “Tobacco: Deadly In Any Form or Disguise” yang telah dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sempena Hari Tanpa Tembakau Sedunia 2006, tembakau walau dalam bentuk apa pun tetap boleh mendatangkan bahaya dan mudharat kepada penggunanya, termasuklah shisha.
xiii. Ini kerana satu sesi penggunaan shisha (lebih kurang 20-80 minit) akan mendedahkan penggunaannya kepada asap yang lebih banyak dalam masa yang lebih lama berbanding daripada sebatang rokok (lebih kurang 5-7 minit), dan asap yang terhasil dari shisha tersebut mengandungi bermacam-macam bahan toksikyang diketahui boleh menyebabkan kanser paru-paru, penyakit jantung dan berbagai jenis penyakit lain.
xiv. Manakala asap daripada shisha (yang terhasil dari pembakaran tembakau dan arang) mengandungi gas berbahaya seperti karbon monoksida. Selain itu juga mengandungi hidrokarbon (benzene dan benzo-pyrene) yang merupakan bahan penyebab kanser dan leukemia.
xv. Dari hasil penyelidikan yang dijalankan, penggunaan shisha juga dikaitkan dengan berbagai penyakit serius seperti penyakit jantung koronari, atherosclerosis, penyakit system pernafasan yang kronik, kanser mulut, kanser pundi kencing dan juga saluran darah tersumbat (clogges arteries). Selain itu penggunaan shisha juga dikaitkan dengan beberapa jenis penyakit berjangkit yang menular melalui air liur akibat daripada perkongsian paip seperti turberculosis (tibi), hepatitis, herpes, jangkitan virus di bahagian pernafasan dan bahkan juga HIV.
xvi. Berdasarkan kesimpulan yang telah dibuat pihak WHO dan disokong oleh data saintifik, telah menyatakan:
a. Menggunakan shisha untuk menghisap tembakau boleh menyebabkan bahaya kesihatan yang serius kepada perokok dan juga orang lain yang terdedah kepada asap tembakau tersebut.
b. Apa yang jelas menurut hasil kajian dan data yang ada mengatakan bahawa shisha boleh membawa risiko dan bahaya yang sama seperti rokok dan ia bukanlah satu alternative yang selamat bagi rokok.
c. Hakikatnya, walaupun dalam bentuk dan cara yang berbeza, menghisap shisha adalah menghisap tembakau dan kajian sains telah membuktikan bahawa tembakau dan pendedahan kepada asapnya boleh menyebabkan bermacam-macam penyakit, bahkan boleh membawa maut.
xvii. Kementerian Kesihatan telah menjalankan analisa terhadap bahan shisha yang diperolehi di pasaran tempatan dan kedai shisha pada tahun 2011 iaitu sampel yang dikilang (factory made) dan sampel buatan sendiri (home made), dan keputusan analisa daripada Jabatan Kimia Malaysia telah mengesahkan bahawa KESEMUA sampel-sampel tersebut mengandungi tembakau. Ini jelas membuktikan bahawa semua bahan yang digunakan untuk menghisap shisha mengandungi tembakau. Dakwaan yang mengatakan bahawa shisha yang menggunakan perisa buah-buahan tidak mengandungi tembakau adalah tidak benar.
xviii. Sesi Shisha mendedahkan perokok kepada asap rokok yang berlebihan jika berbanding dengan seorang perokok yang menghisap rokok biasa. Seorang perokok biasanya mengambil sebanyak 8-12, 40-75 ml hembusan asap rokok selama 5 hingga 7 minin dan menyedut sebanyak 0.5 hingga 0.6 liter asap. Secara perbandingan satu sesi Shisha biasanya adalah selama 20 hingga 80 minit, di mana seseorang perokok mengambil sebanyak 50 hingga 200 hembusan asap dalam julat 0.15 hingga 1 liter setiap sesi. Oleh yang demikian, seseorang perokok Shisha menyedut asap yang berlebihan melalui satu sesi, sepertimana, secara perbandingannya, seseorang perokok yang menghisap asap rokok tembakau sebanyak 100 atau lebih batang rokok.
xix. Terdapat kajian menunjukkan penaspisan air pada alat Shisha hanya dapat menapis sejumlah kecil kandungan karbon monoksida, nikotin, tar dan logam berat yang terdapat di dalam asap Shisha. Kurang daripada 5% daripada nikotin sahaja ditapis keluar ke dalam kandungan air tersebut. Pengurangan nominal nikotina yang ditapis keluar selalunya diimbangi dengan kecenderungan seseorang penghisap Shisha untuk menyedut asap Shisha dengan lebih mendalam atau lebih kerap untuk menggantikan ketagihan nikotina yan dikehendaki.
xx. Oleh kerana Shisha mengandungi tembakau maka ia didefinasikan sebagai hasil tembakau di bawah konteks Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004. Sehubungan itu, semua peruntukan undang-undang yang terpaki kepada rokok adalah terpakai untuk Shisha, contohnya, larangan jualan dan penggunaan oleh orang belum dewasa, larangan pengiklanan, promosi dan tajaan, larangan menghisap Shisha di tempat-tempat yang dilarang merokok dan sebagainya.
Pelbagai risiko kesihatan akan dihadapi oleh penghisap shisha, seperti:
a. Ancaman Kanser
Arang yang digunakan untuk tembakau haba dalam paip meningkatkan risiko kesihatan dengan menghasilkan tahap karbon monoksida, logam, dan bahan kimia penyebab kanser. Walaupun selepas ia telah melalui air, asap yang dihasilkan oleh paip yang mengandungi tahap bahan toksik, termasuk karbon monoksida, logam berat dan bahan kimia penyebab kanser. Tembakau paip dan asap mengandungi banyak bahan-bahan toksik yang diketahui boleh menyebabkan paru-paru, pundi kencing dan kanser mulut.
Rangsangan ke mulut daripada pendedahan kepada jus tembakau meningkatkan risiko mendapat kanser mulut. Kerengsaan dengan produk jus tembakau mungkin lebih tinggi di kalangan perokok paip daripada kalangan paip atau cerut perokok kerana merokok paip biasanya diamalkan (dengan atau tanpa sedutan) lebih kerap untuk tempoh yang lebih lama.
b. Penyakit Jantung
Tembakau paip dan asap mengandungi banyak bahan-bahan toksik yang diketahui menyebabkan arteri tersumbat dan penyakit jantung
c. Selesema
Perkongsian paip merokok meningkatkan risiko batuk kering dan selesema.
d. Asap Rokok
Asap rokok daripada shisha menimbulkan risiko yang serius untuk bukan perokok, terutama kerana ia mengandungi bukan sahaja asap daripada tembakau tetapi juga dari sumber haba (contohnya, arang) yang digunakan dalam paip.
xxi. Menghisap shisha akan membawa risiko kesihatan yang sama seperti merokok atau penggunaan produk tembakau yang lain, malah lebih banyak bahayanya daripaa rokok. Asap tembakau yang keluar dari baling air shisha sebenarnya mengandungi toksin-toksin yang diketahui menyebabkan penyakit paru-paru, penyakit jantung dan berbagai lagi penyakit berbahaya yang lain.
xxii. Kedudukan hokum shisha dalam Islam dapat diistinbatkan daripada Al-Quran, Hadith dan Qias.
Al-Quran:
1. Gesaan Pengambilan Sesuatu Yang Baik
Islam menyuruh umatnya agar setiap seseorang itu mengambil
sesuatu yang baik lagi berkhasiat untuk keperluan diri, keluarga dan sebagainya.
Maksudnya: Wahai orang yang beriman! Makanlah dari rezeki yang baik yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu beribadat kepada-Nya. (Surah Al-Baqarah: ayat 172)
Pengambilan shisha yang mengandungi komposisi yang negative tidak menepati seruan firman Allah S.W.T. ini.
2. Larangan Membinasakan Diri
Islam melarang umatnya membiarkan diri sendiri terdedah dengan berbagai-bagai bahaya dan kemudharatan. Ini sebagaimana firman Allah S.W.T:
Maksudnya: Dan belanjakanlah (harta bendamu) di jalan Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan dan berbuat baiklah kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berusaha memperbaiki amalannya. (Surah Al-Baqarah:ayat 195)
Menghisap shisha, rokok dan sebagainya adalah termasuk dalam kategori membinasakan diri dengan melakukan kemudharatan, sama ada jangka pendek atau jangka panjang. Perkara ini amat ditegah dalam Islam, kerana agama Islam amat mementingkan penjagaan lima perkara asas bagi manusia, iaitu: menjaga agama, akal, jiwa, keturunan, dan harta benda.
Dalam ayat lain Allah menegaskan:
Maksudnya: Wahai orang yang beriman, janganlah kamu makan harta-harta sesame kamu dengan jalan salah, kecuali dengan jaln perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antaramu, dan janganlah kamu erbunuh-bunuhan sesame sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihi Kamu, yang berusaha memperbaiki amalannya. (Surah Al-Nisa’:ayat 29)
Menghisap shisha adalah dianggap seperti membunuh diri sendiri secara perlahan dan tidak langsung tanpa diketahui oleh pengamalnya. Dalam ayat ini yang mengatakan berbunuhan, bukanlah bermakna membunuh menggunakan senjata tajam sahaja, malah ia merangkumi pembunuhan secara senyap yang boleh mendatangkan mudharat yang besar kepada manusia.
3. Larangan Melakukan Pembaziran
Membelanjakan wang terhadap perkara-perkara yang tidak mendatangkan kebaikan dan manfaat kepada diri sendiri, keluarga dan sebagainya amatlah ditegah dalam Islam. Perbuatan sedemikian boleh mendatangkan keburukan dan membawa kepada pembaziran harta, masa, tenaga dan sebagainya. Islam melarang setiap pembaziran seperti firman Allah S.W.T:
Maksudnya: …dan janganlah kamu berbelanjakan dengan sangat boros. (Surah Al-Isra’:ayat 26)
Hadith Nabi S.A.W:
Larangan menghisap shisha ini bertepatan dengan hadith Nabi S.A.W.:
Maksudnya: Tidak boleh mudharatkan (diri sendiri) dan memberi kemudharatan (kepada orang lain)
Qiyas:
1. Hukum menghisap shisha diqiaskan kepada hadith:
Setiap sesuatu yang memudharatkan adalah haram. Ini kerana,
shisha dan rokok mempunyai persamaan umum dari sudut komposisinya seperti sedutan asap yang terhasil daripada tembakau. Malah, kajian WHO menunjukkan asap yang terhasil daripada shisha lebih banyak terhasil berbanding rokok sebanyak 100-200 batang rokok pada satu-satu sesi.
2. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal
Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-37 yang bersidang pada 23 Mac 1995 telah membincangkan Hukum Merokok Dari Pandangan Islam dan telah memutuskan bahawa “merokok adalah haram dari pandangan Islam kerana padanya terdapat kemudharatan”.
3. Ini adalah kerana shisha mendatangkan kemudharatan
Yang besar pada kesihatan diri seseorang dan hartanya. Kajian WHO terhadap penghisap shisha di Mesir menunjukkan ia memberi kesan terhadap system pernafasan, kardiovaskular, pendedahan kepada penyakit berjangkit, gangguan system imunisasi dan hormone darah dan sebagainya.
4. Hukum ini juga boleh diqiaskan hukum merokok yang
dikeluarkan oleh Fatwa Mesir, Ulama Mesir, Dr. Abd AL-Jalil Shalabiy mengatakan merokok adalah haramkerana ia boleh mendatangkan kemudharatan kepada kesihatan masyarakat.
5. Ia turut diqiaskan kepada Fatwa Arab Saudi yang dikeluarkan
Oleh Kerajaan Arab Saudi yang menyatakan bahawa merokok, menanam tembakau dan memperniagakannya adalah haram kerana padanya ada kemudharatan.
Kaedah Fiqh:
Maksudnya: Menutup pintu kerosakan.
Ini bermakna menyekat sesuatu yang boleh membahayakan diri seseorang adalah perlu dijauhi. Bagi isu shisha ini, ia amat merbahaya kepada kesihatan individu yang mengamalkannya. Perkara seumpama ini amat ditegah dalam Islam.
Menurut pendapat Sheikh Dr Yusuf Al-Qaradhawi, pengambilan sesuatu yang memudharatkan adalah dilarang. Oleh yang demikian, pengambilan shisha adalah haram.
Maksudnya: Setiap sesuatu yang memudharatkan, maka hokum memakannya atau meminumnya adalah haram.
Sheikh Abdul Aziz bin Abdullah bin Baz seorang ulama menjelaskan shisha dan rokok merupakan antara perkara yang diharamkan memandangkan ia mempunyai keburukan yang besar berdasarkan kepada kenyataan-kenyataan pakar-pakar perubatan. Allah S.W.T. mengharamkan ke atas setiap orang Islam sesuatu perkara yang mempunyai kemudharatan.
Fatwa Negara-negara Islam Lain
Maksudnya: “Oleh kerana itu diharamkan merokok dengan cara arjilah-shisha-…”
Darul Ifta’ Al-Misriyyah Mesir, Arab Saudi dan Mufti Brunei Darussalam juga telah mengeluarkan fatwa mengharamkan shisha.
Source:
http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/hukum-shisha-menurut-pandangan-syarak
Subscribe to:
Posts (Atom)